Saturday, October 24, 2009

{ KELANTAN-KITA } Persembahan dikir barat 14 jam tanpa henti



Persembahan dikir barat 14 jam tanpa henti

BAGI penumpang kereta api Tren Ekspres Timuran, perjalanan dari Tanjung Pagar, Singapura ke Tumpat, Kelantan sejak petang Isnin memberikan satu pengalaman unik apabila sepanjang jalan mereka dihiburkan dengan persembahan dikir barat tanpa henti.

Selama 14 jam, Kumpulan Dikir Barat Sri Rahmat mendendangkan lagu-lagu rakyat Kelantan, diselangselikan dengan lagu tradisional, rakyat Malaysia, patriotik, lagu-lagu lama dari era sebelum seniman agung P. Ramlee sehinggalah lagu-lagu pop dan lagu-lagu Hindustan serta negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia.

Usaha Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengadakan persembahan di dalam tren yang bergerak itu bertujuan mempromosikan pelancongan kereta api untuk menarik pelancong dari luar negara menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama bagi menjelajah dan mengenali negara ini.

Bagi Kumpulan Dikir Barat Sri Rahmat, yang terdiri daripada 25 anggota dari Perkampungan Inap Desa Seterpa, Kota Baharu, persembahan seni budaya terkenal Kelantan merupakan satu usaha menempa nama di dalam Malaysia Book of Records.

Pengurus kumpulan itu, Rosli Mohd Hamzah, 47, mereka baru sahaja selesai melakukan persembahan di Pameran Promosi Pelancongan Malaysia 2009 di Singapura sejak 16 Okt.

Sebaik kereta api bergerak dari Stesen Woodlands pada pukul 6.50 petang Isnin, kumpulan dikir yang menggunakan lapan alat muzik tradisional iaitu dua rebana, masing-masing satu gong, serunai, tamborine, romba, canang dan cin cak memecah kesunyian sehinggalah kereta api berhenti di Stesen Tumpat.

"Hanya "kertok" sahaja alat muzik yang kita tak boleh guna dalam keretapi ini sebab alat itu terlalu besar dan tidak sesuai digunakan dalam keretapi yang sentiasa bergegar ini," kata Rosli.

Malam yang semakin larut tidak menghalang suara "Tukang Karut" dan "Tuk Jogho" yang semakin serak dan kering untuk terus menyanyi.

Fokus dan semangat anak Kelantan yang mahu menempa sejarah ini begitu kental, ditambah pula sokongan padu daripada sebahagian wartawan dan penumpang yang naik turun keretapi turut menyertai dan mengikut gerak tari "Awak-awak", pendikir yang bertepuk beramai-ramai.

Sang suria yang sedikit demi sedikit menampakkan sinarnya, menyemarakkan semangat anggota dikir Sri Rahmat dengan sekali-sekala "Awak-awak" melaungkan ungkapan semangat seraya berkata: "Dekat doh dekat doh, Nok pecoh doh, sikit je lagi!" yang bermaksud "sudah semakin hampir, sikit masa lagi kita pecah rekod".

Akhirnya, tepat pukul 8.50 pagi gerabak Tren Ekspres Timuran tiba dengan selamat di Stesen Tumpat. BERNAMA

 

dipetik daripada akhbar mstar online

 

* Sri Rahmat adalah kumpulan dikir dari Kg. Pak Rahmat yang turut terpilih sebagai sebuah kg yang bertanding dalam Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Negeri Kelantan 2009 yang penilaiannya dibuat pada 20 Okt 2009.

 

 



__._,_.___


Kanopi (Khemah) untuk disewa. Memerlukan  sila lawati http://www.kokpasir.com/kanopi




Your email settings: Individual Email|Traditional
Change settings via the Web (Yahoo! ID required)
Change settings via email: Switch delivery to Daily Digest | Switch to Fully Featured
Visit Your Group | Yahoo! Groups Terms of Use | Unsubscribe

__,_._,___

No comments: