Jual ulam di Internet
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilusasmaini@nstp.com.my
| DIA mula menikmati ulam sejak kecil selepas diajar ibunya. Kini, ulam mentah seperti pucuk selasih, ulam raja, selom, tenggek burung (daun tiga jari) serta pegaga sering menjadi pilihan utama dalam sajian makanannya. | 
DIA mula menikmati ulam sejak kecil selepas diajar ibunya.  Kini, ulam mentah seperti pucuk selasih, ulam raja, selom, tenggek burung (daun  tiga jari) serta pegaga sering menjadi pilihan utama dalam sajian  makanannya.
Bagi Noraida Arifin, 35, selain mempunyai kandungan serat  yang tinggi, ulam mempunyai pelbagai khasiat yang dapat membantu dalam menjaga  kesihatan dan kecantikan.
“Sejak kecil saya memang tidak lupa untuk  mengambil ulam ketika makan. Biasanya saya mengambilnya secara mentah, dicicah  bersama sambal belacan. Namun, suami saya tidak begitu gemar mengambil ulam  kecuali ulam raja.
“Selain ulam, tumbuhan herba seperti kunyit hidup,  pilis, temu lawak serta param juga saya amalkan terutama ketika berpantang.  Ternyata amalan itu banyak membantu wanita seperti saya dalam penjagaan  kesihatan selepas bersalin,” katanya.
Noraida berkata, sejak kecil ibunya sering bercerita  mengenai khasiat herba dan ulam-ulaman yang mudah didapati di sekitar kampungnya  di Kampung Bechah Resak, Tumpat.
Katanya, ibunya banyak menanam ulam serta pokok herba  seperti daun selasih, pegaga serta pucuk mata ayam di kawasan sekitar rumah dan  ia sedikit sebanyak menimbulkan minatnya terhadap tumbuhan.
Tumbuhan ulam  dan herba juga sering dijadikan bahan rawatan tradisional dan kini terdapat  banyak kajian yang dilakukan untuk mengkomersialkan lagi khasiat ulam  berkenaan.
Untuk itu, Noraida berkata, dia dan suami turut menanam  beberapa jenis tumbuhan herba serta ulam di sekitar rumah yang bukan saja untuk  dimakan malah dijadikan pokok contoh untuk pembeli.
Minat yang mendalam  terhadap tumbuhan sebenarnya turut mendorong lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains  Komputer, Universiti Sains Malaysia ini untuk mengasaskan perniagaan menjual  pelbagai jenis pokok tanaman menerusi laman web melur.com.
Perniagaan  yang diasaskan sejak lima tahun lalu itu kini semakin berkembang dan mendapat  sambutan hangat daripada penggemar tumbuhan dari seluruh negara.
“Pada  mulanya, laman web berkenaan diwujudkan sekadar untuk suka-suka berkongsi  maklumat mengenai tumbuhan termasuk tanaman herba yang saya peroleh daripada  ibu, pembacaan serta rujukan sendiri.
“Namun, lama kelamaan, saya  terfikir mengapa tidak kembangkan laman web berkenaan sebagai satu portal  perniagaan untuk membantu penggemar tumbuhan mendapatkan tanaman yang mereka  gemari.
“Bermula dari situlah saya luaskan skop melur.com kepada laman  web yang menyediakan banyak maklumat berguna mengenai tanaman serta memasarkan  pelbagai tumbuhan menerusi katalog yang disediakan. Alhamdulillah, portal ini  semakin berkembang kini,” katanya.
Laman web yang asalnya sekadar untuk  berkongsi maklumat serta pengetahuan mengenai tumbuhan herba, ulam-ulaman serta  penjagaan pokok itu diperkenalkan pada Disember 2003. Kini, ia menjadi antara  portal yang paling mendapat sambutan terutama dalam kalangan penggemar pokok  herba.
Anak sulung daripada tujuh beradik kelahiran Tumpat, Kelantan, ini  masih bekerja di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang dalam bidang  kejuruteraan.
Isteri kepada Datu Mohd Rithaiddeen, 35, ini memperuntukkan  sekitar dua jam sehari untuk mengemas kini pesanan serta pertanyaan di laman web  berkenaan.
Katanya, biarpun mempunyai dua kerjaya dalam satu masa, dia  tidak sesekali melupakan masa untuk bersama keluarga terutama tiga anak yang  masih kecil.
“Keluarga adalah aset yang ternilai bagi saya namun,  perniagaan ini juga amat penting kerana ia berkait rapat dengan minat saya  sendiri,” kata ibu tiga anak perempuan, Dayang Nur Iman Alani, 9, Dayang Nur  Syafiqah, 6 dan Dayang Nur Ain Syazwani, 4.
Mengenai perancangan masa  depan, Noraida berkata dia tidak mahu terburu-buru membuka ladang herba tetapi  sebaliknya mahu menumpukan kepada strategi pemasaran menerusi  Internet.
Melihat potensi yang ada, ia mendorong dirinya untuk  mengembangkan perniagaan herba itu ke peringkat antarabangsa suatu hari nanti.  
“Gaya hidup masyarakat yang semakin moden dan sibuk menyaksikan mereka  tidak mahu membazirkan masa melawat sesuatu nurseri semata-mata untuk mencari  pokok yang diinginkan.
“Ia mendorong masyarakat beralih kepada urusan  pembelian barangan menerusi Internet kerana ia ternyata lebih mudah, banyak  pilihan serta menjimatkan masa.
“Selain itu, penggemar tanaman herba dari  seluruh negara juga tidak perlu bersusah payah untuk pergi ke sesuatu kawasan  untuk mendapatkannya sebaliknya hanya boleh memesan di Internet dengan harga  yang hampir sama,” katanya yang pernah menghasilkan buku berjudul Penyembuhan  Semulajadi Melalui Herba, terbitan PTS Milenia pada 2005.
Petikan: Harian Metro 26 Januari 2009
__._,_.___
No comments:
Post a Comment