
Menteri  Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengulangi kecamannya terhadap sistem politik  Malaysia kerana mengamalkan diskriminasi kaum, menyisihkan bukan Melayu dengan  dasar memberikan kedudukan istimewa kepada orang Melayu.
Lee Kuan Yew  yang telah pun berusia 87 tahun dan berada dalam keadaan uzur, di samping  menghadapi isterinya, 89 tahun yang kini tidak boleh lagi bercakap sejak  diserang strok dua tahun lalu, nampaknya menyimpan dendam dan harapan yang tidak  kunjung padam di atas kegagalannya menegakkan Malaysian Malaysia di Malaysia  lebih 40 tahun lalu.
Gagasan itu telah tersingkir bersama dengan  penyingkiran Singapura dari Malaysia tetapi telah menampakkan kesegarannya  semula setelah Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sekali gus memberi nafas baru kepada  DAP yang mewarisinya, malah semakin nampak maju ke hadapan dengan DAP mendapat  sokongan daripada parti parti pembangkang Melayu.
Adalah tepat kenyataan  Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin bahawa kenyataan Lee  Kuan Yew yang dilontarkan dalam suasana Malaysia sekarang merupakan suatu  hasutan, ibarat menjirus minyak ke atas api, menyalakan perasaan perkauman dan  membantu merungkaikan ikatan sosial di Malaysia.
Kenyataan Lee Kuan Yew  itu lebih berpotensi untuk memarakkan perasaan marah orang Cina Malaysia yang  sekarang memahami 1Malaysia sebagai Malaysian Malaysia.
Dalam pada itu,  berasaskan kepada tulisan-tulisan yang disiarkan oleh akhbar-akhbar di Singapura  dan luar negara, ternyata keadilan sosial yang didakwa oleh Lee Kuan Yew sebagai  amalannya tidak dapat dirasakan oleh generasi baru Singapura.
Mereka  tidak dapat melihat kebenaran kata-katanya itu kerana mereka merasakan lebih  tertekan dan teraniaya melihat kebebasan yang dinikmati oleh jiran terdekat  mereka, Malaysia. Rakyat Malaysia bebas bersuara terhadap perasaan tidak puas  hati mereka, malah boleh mempersendakan lagu kebangsaan negara!
Rakyat  Singapura sudah berpuluh tahun hidup dalam ketakutan untuk bertindak dan  bersuara secara berkumpulan atau secara individu termasuk dalam beberapa hal,  mereka tidak bebas untuk mengamalkan agama, budaya dan cara hidup masing-masing.  Umpamanya, pembakaran gaharu tidak dibenarkan di rumah-rumah pangsa dan azan  dari masjid dan surau tidak boleh kuat suaranya.
Lee Kuan Yew tidak  memberikan apa yang diberikan oleh Malaysia kepada generasi barunya iaitu udara  kebebasan baru yang merungkai sistem kawalan sosial supaya setanding dengan  dunia demokrasi dan nilai globalisasi.
Dalam temu bual dengan Seth  Mydans untuk akhbar New York Times baru-baru ini, Lee Kuan Yew telah menegaskan  sekali lagi pendiriannya untuk tidak menukar sistem pemerintahan Singapura  dengan menolak tuntutan generasi baru untuk keterbukaan politik kerana ia  membuka pintu kepada politik perkauman dan akan memecah-belahkan masyarakatnya  (Lihat The New York Times 2010 http://bit.lydtbcMF)Tetapi generasi baru  Singapura tidak lagi percaya kepada doktrin itu. Mereka sedang berjuang secara  senyap di dalam dan di luar negara untuk merungkaikan kawalan sosial yang  membelenggu hidup mereka secara authoritarian dan mereka akan melakukannya  dengan lebih berani apabila tangan Lee Kuan Yew tidak kelihatan  lagi.
Bagaimanapun, sementara menunggu saat bahagia itu tiba, mereka  memerlukan sokongan moral terutama dari luar negara. Menurut New York Times,  generasi muda Singapura membimbangkan Lee Kuan Yew dengan tuntutan bagi  mendapatkan kebebasan politik yang lebih luas dan juga kebebasan untuk bertukar  fikiran dalam era Singapura yang moden.
Generasi muda negara itu sedang  menunggu dengan sabar saat kebebasan itu datang kerana menurut laporan New York  Times itu lagi, Lee Kuan Yew semakin lemah sekarang dengan menderita tekanan  jiwa berhadapan dengan keadaan isterinya yang terlantar.
Namun begitu,  Lee Kuan Yew tetap mempunyai semangat yang tinggi dan tetap mengenangkan  perpisahan Singapura dari Malaysia sebagai sesuatu yang amat menyakitkannya,  tetapi lupa dia meninggalkan warisannya di Malaysia iaitu Malaysian Malaysia  yang menjadi duri dalam daging di negara ini dan amat menyakitkan hati  sebahagian besar rakyat Malaysia.
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia  sepatutnya bersimpati dengan harapan generasi baru Singapura itu dan membantu  memberikan semangat yang kuat kepada mereka untuk mewujudkan Singapura baru yang  dapat mengecap udara kebebasan serta demokrasi sesuai dengan kedudukan dan taraf  Singapura sebagai negara maju. Pada hari ini, Singapura dilihat sebagai negara  maju yang mengamalkan demokrasi dunia ketiga.
Sebagai sokongan moral,  Pemuda UMNO Malaysia patut menghantar memorandum kepada Menteri Mentor Singapura  dengan salinannya kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi mendesaknya  memberikan kebebasan media dan kebebasan bergerak kepada parti-parti politik  lain, selain daripada PAP demi keadilan sosial di Singapura.
Dengan itu,  beliau dapat melihat rakyat Singapura menyanjungnya semasa beliau hidup dan  tidak mengutuknya selepas beliau mati. Sekurang-kurangnya dalam hal ini,  Singapura patut meniru Malaysia. Lee Kuan Yew akan dapat melihat kegelisahan  rakyatnya yang terpendam ini di sebalik segala kemewahan Singapura jika Malaysia  membuka pintunya kepada rakyat Singapura untuk penghijrahan bagi pemastautin  tetap atau untuk menjadi rakyat negara ini.
Pintu Malaysia akan pecah  seperti pecahnya Tembok Berlin dengan pelarian rakyatnya sekali gus akan  membuktikan mereka tidak mempunyai kepercayaan terhadap masa depan  Singapura.
Apa salahnya untuk Pemuda UMNO Malaysia sekadar menghantar  memorandum kepada Lee Kuan Yew, sedangkan bekas Perdana Menteri Singapura itu  telah menceroboh dalam pengurusan politik Malaysia. 
 sumber :-
   
  
  
  
 
No comments:
Post a Comment